Rabu, 18 Mei 2011

Berhenti Merokok


Apakah baiknya berhenti merokok?
  • Pernafasan bertambah baik
  • Stamina meningkat
  • Lebih sihat
  • Lebih diterima oleh masyarakat
  • Mengurangkan bahaya merokok terhadap kesihatan
  • Melindungi orang lain dari bahaya merokok
  • Menjimatkan wang
  • Melindungi persekitaran
Mengapa susah untuk berhenti?
  • Nikotine dalam tembakau menyebabkan ketagihan
  • Kesan merokok yang menyeronokkan (contoh : merasa lebih segar dan tidak mengantuk) adalah kesan serta merta tetapi tidak lama (lebih segar , degupan jantung bertambah)
  • Merasa letih dan murung apabila tidak merokok
  • Merasa gelisah dengan gejala gian yang lain
  • Mengatasi gian dan keinginan merokok
Bagaimana cara berhenti merokok?
  • Menyedari anda mepunyai masalah.
  • Membuat keputusan.
  • Menetapkan tarikh berhenti merokok.
  • Elakkan pengaruh untuk merokok.
  • Minta bantuan dari rakan anda.
  • Cari aktiviti yang lebih baik untuk dilakukan.
  • Rancang hari hari tidak merokok anda.
  • Bina keyakinan diri.
  • Buat peringatan bertulis mengingatkan anda untuk berhenti merokok / diari berhenti merokok.
berkelah
berkelah
Petua mengatasi keinginan merokok.
  • Tarik nafas panjang
  • Minum air
  • Membuat kerja lain
  • Mengunyah sesuatu (seperti gula getah)
  • Mandi
  • Basuh tangan
  • Senaman ringan ( contoh : regangan)
  • Sembahyang / meditasi
SASARAN INDUSTRI TEMBAKAU
Pengenalan
  • Seramai 8,000 perokok diseluruh dunia mati setiap hari akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.
  • Untuk mengekalkan keuntungan, industri tembakau perlu mencari perokok baru bagi menggantikan mereka yang telah mati.
  • Usia muda merupakan sasaran yang tepat.
  • Sekiranya remaja mula merokok, peluang untuk mereka terus mengekalkan tabiat merokok sehingga dewasa adalah tinggi.
Apakah matlamat industri tembakau?
Menipu dan memutarbelitkan masyarakat supaya merokok. Terutamanya kanak-kanak dan belia. Belia yang ketagihan merokok, akan menggantikan perokok dewasa yang telah berhenti merokok atau meninggal dunia. 

Bagaimana industri tembakau mempengaruhi anda supaya merokok?
Strategi industri tembakau adalah seperti berikut :
  • Lebih matang dan dewasa
  • Canggih
  • Riang
  • Bergaya
  • Tenang
  • Diterima ramai
Menjadikan rokok :
  • Mudah diperolehi
  • Boleh dibeli dengan harga yang murah
  • Boleh dibeli dengan satu batang rokok sahaja
Meyakinkan bahawa rokok boleh membantu anda :
  • Menikmati keseronokan yang lebih
  • Merasa lebih tenang
Menyembunyikan fakta sebenar bahawa rokok :
  • Mendatangkan ketagihan
  • Membahayakan kesihatan anda
  • Menyebabkan kematian lebih awal dari sepatutnya
Melalui promosi rokok, menarik belia menghadiri :
  • Konsert / panggung wayang
  • Majlis / perjumpaan sosial
  • Papan iklan
  • Media bercetak/ media elektronik
Bagaimana untuk mengelak dari dipengaruhi industri tembakau?
Jika ya, anda perlu memperkasakan diri anda
  • Bagaimana?
  • Disini, disenaraikan kaedah bagaimana menyalurkan kemarahan anda
    • Jadilah penggerak "Anti-Tembakau" di kalangan remaja
    • Suarakan pendapat anda
    • Ketahuilah, sekiranya anda bersatu menentang pengaruh industri
    • Berinteraksilah atas talian (on-line)
FAKTA MENGENAI TEMBAKAU DAN MEROKOK

Mengapa tembakau dan merokok menjadi isu utama?
  • Tembakau adalah satu-satunya bahan pengguna yang dibenarkan di sisi-sisi undang-undang tetapi boleh mendatangkan ketagihan dan membunuh separuh dari penghisapnya
  • Asap rokok mengandungi lebih kurang 4000 bahan kimia beracun
  • Lebih kurang 63 dari bahan kimia tersebut boleh menyebabkan barah 

    Apakah jenis-jenis bahan merokok dari tembakau?
    Merokok boleh dalam bentuk berikut :
    • Rokok
    • Cerut
    • Tembakau paip
    • Seesha
    Adakah terdapat data mengenai kesan merokok di Malaysia?
    • Lebih kurang 50% lelaki Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perokok
    • Lebih kurang 20% remaja adalah perokok
    • 85 % remaja akhirnya menjadi ketagih kepada rokok
    • Dianggarkan 3,500 dari setiap 10,000 kematian setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan merokok
    Apakah yang menyebabkan ketagihan rokok?
    • Rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan seperti juga heroin dan kokain
    • Menghisap rokok berulang kali boleh menyebabkan ketagihan
    Mengapa merokok merbahaya?
    Merokok merbahaya kerana :
    • Tembakau mempunyai hubungkait yang rapat sebagai penyebab penyakit seperti barah dan penyakit jantung
    • Boleh terjebak dalam penyalahgunaan dadah

       
    Bagaimana merokok itu membahayakan?
    • Asap rokok mengandungi lebih kurang 4000 jenis bahan kimia beracun
    • Lebih kurang 63 dari bahan kimia di atas boleh menyebabkan barah
    Adakah kesan buruk merokok hanya tertumpu kepada perokok atau juga orang lain?
    Ya, orang lain boleh menjadi perokok pasif secara tidak langsung jika :
    • Terhidu asap yang keluar dari perokok. Kesan yang tidak diingini adalah sama iaitu penyakit lelah, penyakit jantung dsb.
    Apakah bahan kimia yang merbahaya dalam asap rokok?
    Daripada 4000 bahan beracun dalam asap rokok, yang biasa dikenali adalah seperti berikut :
    • Tar (bahan untuk membuat jalan raya)
    • Ammonia (bahan dalam pencuci lantai)
    • Napthylamine (ubat gegat)
    • Arsenik (racun anai-anai)
    • Nicotine (bahan yang boleh mendatangkan ketagihan)
    • Kadmium (terdapat dalam bateri)
    • DDT (Ubat nyamuk)
    • Formaldehyde (untuk mengawet mayat)
    • Butane (gas yang boleh membunuh)
    • Methanol (Bahan pembakar untuk roket)
    • Hydrogen cyanide (racun)
    • Toluene (bahan pelarut)
    • Carbon Monoxide (gas beracun)
    rokok
    Apakah penyakit yang membawa maut dan dikaitkan dengan tabiat merokok?
    • Penyakit saluran pernafasan: lebih 10-20 kali ganda
    • Barah paru-paru: lebih 10-15 kali ganda
    • Barah paydara: lebih 11 kali ganda
    • Barah hidung dan tekak: lebih 5-15 kali ganda
    • Barah mulut: lebih 3-15 kali ganda
    • Barah saluran makanan : lebih 4-5 kali ganda
    • Sakit Jantung: lebih 1.5-3 kali ganda
    • Barah Buah Pinggang: lebih 1.5-3 kali ganda
    • Ulser Perut: lebih 2 kali ganda
    • Angin Ahmar: lebih 2-3 kali ganda
    Adakah perokok pasif kurang bahaya?
    Tidak, ianya lebih merbahaya kerana :
    • Berbanding dengan asap yang dihisap oleh perokok, asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi :
      • 2 kali ganda nikotin
      • 3 kali ganda tar
      • 5 kali ganda karbon monoksida
      • 50 kali ganda bahan kimia merbahaya
    Adakah undang-undang dan peraturan berkaitan merokok?
    Ya, adalah menjadi kesalahan jenayah bagi remaja untuk merokok, membeli rokok atau memiliki bahan yang dihasilkan dari tembakau. Merokok adalah dilarang di tempat-tempat awam seperti berikut :
    • Sekolah
    • Hospital dan klinik
    • Bangunan-bangunan kerajaan
    • Lif
    • Kapal terbang

      Bila merokok dianggap sebagai ketagihan?
      • Seseorang mengalami rasa tidak selesa dan ketagih untuk merokok apabila tidak merokok
      • Di antara tanda-tanda ketagihan adalah :
        • Tanda fizikal :
          • Gelisah
          • Menggeletar
          • Degupan jantung lebih laju
          • Pernafasan cetek / tidak dalam
        • Corak pemikiran :
          • Gian untuk menghisap rokok
          • Berasa risau, gelisah dan bimbang
          • Tidak boleh menumpukan perhatian
        • Corak Emosi :
          • Mudah marah
          • Mudah runsing
          • Rasa bimbang
          • Gelisah
        • Pola kelakuan :
          • Kehadiran ke sekolah merosot dan kurang disiplin
          • Tercicir dari sekolah
          • Perubahan sikap dan tingkah laku
          • Terlibat dalam kegiatan jenayah seperti mencuri untuk membiayai tabiat merokok
      BERKATA "TIDAK" KEPADA MEROKOK

      Mengapa anda perlu berkata "Tidak"?
      Adalah penting berkata "Tidak" kepada merokok sebelum ia menjadi tabiat atau menjadi ketagih.

      Bagaimana anda berkata tidak kepada merokok?
      • Jika semua rakan anda merokok dan anda tidak mahu seperti mereka, adalah susah untuk mengatakan "tidak", tetapi menjadi orang yang tidak merokok adalah hak anda.
      • Tiada seorang pun yang mahu disisihkan, tetapi kesihatan anda adalah lebih penting.
      • Strategi yang berlainan mungkin sesuai untuk orang yang berlainan.
      • Sesetengah orang merasa mudah menyatakan tidak tanpa memberi penjelasan. Orang lain pula berpendapat memberi penjelasan lebih baik (cth."Saya tidak mahu merokok" atau "Pakcik saya mati disebabkan merokok")
      • Jika anda tidak selesa untuk berkata tidak kepada kawan-kawan anda, minta ibubapa anda atau orang dewasa lain membantu anda mengatakan tidak.
      • Mungkin seorang remaja boleh berkata "Bapa saya tidak membenarkan saya merokok" "Jurulatih bolasepak saya akan membuang saya dari pasukan jika saya merokok" .
      • Yang penting anda perlu bertegas bila berkata "tidak" tanpa melukai hati/perasaan orang lain.
      Bagaimana anda bertegas diri?
      • Nyatakan pendirian anda. Beritahu mereka bahawa anda tidak berhajat untuk merokok.
      • Nyatakan alasan anda. Beritahu mereka alasan anda mengapa tidak merokok.(contoh: merokok membahayakan kesihatan saya).
      • Saling memahami. Biarlah orang lain tahu yang anda memahami perasaan orang lain.
      Bagaimana anda menyampaikan keputusan anda?
      • Gunakan kemahiran tanpa lisan yang betul. (ekspresi muka, gaya badan dsb.)
      • Berikut beberapa panduan/petua untuk anda menjadi lebih tegas.
        • Kelantangan suara. Jangan berbisik atau bercakap tidak jelas. Bercakap dengan nada suara yang jelas dan meyakinkan.
        • Kontak mata. Jangan memandang ke tempat lain apabila bercakap dengan seseorang. Pandang terus ke mata seseorang semasa bercakap
        • Ekspresi muka . Pastikan ekspresi muka anda bersesuian dengan apa yang anda perkatakan.(contoh jangan senyum ketika anda hendak memberitahu yang anda marah).
        • Jarak. Tentukan jarak yang sesuai apabila anda bercakap dengan seseorang. (sebagai contoh, berada dijarak yang jauh jika anda hendak beredar atau berada dijarak yang dekat untuk menimbulkan kemesraan.
      Bagaimana mengatakan "Tidak"?
      Teknik
      Contoh
      • "Tidak" yang mudah
      • "Tidak" atau "Tidak, terima kasih."
      • Beritahu yang benar
      • "Tidak, terima kasih, saya tidak merokok"
      • Beri alasan
      • "Tidak, terima kasih, saya perlu pergi segera ke tempat lain."
      • Menukar subjek perbualan
      • Katakan "tidak" dan teruskan bercakap perkara lain
      • "Tidak, terima kasih. Hey. Anda tengok perlawanan malam tadi tak?"


      MITOS DAN FAKTA-FAKTA BERKENAAN MEROKOK

      Mengapa remaja merokok?
      Terdapat banyak sebab remaja merokok dan ianya diklasifikasikan mengikut :
      Peribadi :
      • Ingin tahu atau ingin mencuba
      • Ingin membuktikan dirinya sudah matang untuk merokok
      • Merasa rendah diri
      • Mempercayai mitos merokok
      • Memberontak
      Sosial :
      • Tekanan rakan sebaya
      • Dicabar oleh kawan-kawan supaya merokok
      • Mencontohi ibu bapa /penjaga atau saudara mara yang merokok
      • Mencontohi idola popular yang juga perokok
      Persekitaran :
      • Pengaruh media (contoh : iklan)
      • Mudah diperolehi
      • Boleh dibeli
      Mitos dan kebenaran mengenai merokok
      Mitos
      Kebenaran/kenyataan
      • Merokok tidaklah membahayakan seperti mana yang didakwa sesetengah orang
      • Kebanyakan pakar kesihatan bersetuju bahawa merokok adalah salah satu penyebab kematian dan ketidakupayaan yang serius di Malaysia.
      • Berhenti merokok adalah mudah
      • Ramai yang gagal untuk berhenti merokok walaupun setengah dari perokok telah cuba berhenti sekurang-kurangnya sekali.
      • Saya tidak perlu bimbang tentang akibat buruk merokok sehingga apabila saya tua.
      • Merokok adalah sesuatu yang memberi kesan kepada anda sekarang.
      • Ianya memberikan kesan fizikal kepada anda dengan :
        • Mengurangkan keupayaan anda dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berat
        • Meningkatkan paras karbon monoksida di dalam badan anda
        • Mengubah warna gigi dan jari anda dan mengurangkan deria rasa anda
        • Menyebabkan anda barbau asap rokok
        • Membelanjakan wang sebanyak RM500 setahun jika anda merokok 40 batang seminggu
      • Merokok menjadikan saya dewasa.
      • Remaja yang tidak merokok didapati lebih matang.
      • Merokok membolehkan saya mendapat kawan
      • Remaja yang tidak merokok akan mendapat lebih ramai kawan kerana sebahagian besarnya kebanyakan remaja tidak merokok.
      • Merokok memberikan saya inspirasi
      • Ramai remaja yang merokok lebih mudah terlibat dalam kegiatan negatif yang berbahaya dan menyalahi undang-undang
      • Merokok nampak macho dan bergaya
      • Merokok menjadi semakin kurang diterima masyarakat. Tempat awam adalah kawasan larangan merokok. dan telah dilarang di kebanyakan tempat awam di Malaysia. Merokok juga menggalakkan penuaan.
      • Curut lebih selamat dari rokok
      • Curut tidak mempunyai penapis dan meningkatkan kesan kesihatan yang negatif walaupun ia tidak disedut sehingga ke dalam paru-paru.
      • Tembakau yang tidak dibakar adalah lebih selamat
      • Tembakau yang tidak dibakar ialah semua jenis tembakau yang di kunyah, dihidu atau dihisap. Ia meningkatkan risiko mendapat barah mulut dan tekak.



      AKIBAT MEROKOK

      Bagaimana merokok mendatangkan kesan ke atas tubuh badan anda?
      • Mempunyai kedua-dua kesan jangka pendek dan jangka panjang
      • Bahan-bahan kimia yang dibebaskan daripada rokok boleh merosakkan beberapa organ dalam tubuh badan kita
      Apakah kesan-kesan jangka pendek?





      http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/teens/P7T1_effect_smoke5.jpg

      Otak

      -

      Pembebasan gas karbon monoksida dan pengurangan oksigen menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya
      Telinga
      -
      Mengurangkan kadar pengaliran darah boleh menyebabkan pekak
      Mata
      -
      Mata berair, radang mata yang boleh mengganggu daya penglihatan
      Mulut
      -
      Mengalami deria rasa yang tidak sedap pada bibir,lidah dan tekak

      -
      Nafas berbau dan mendapat jangkitan mulut

      -
      Gigi menjadi kuning
      Hidung
      -
      Mengurangkan deria bau
      Kulit
      -
      Mengurangkan suhu badan, kulit muka cepat berkedut
      Paru-paru
      -
      Kesukaran untuk bernafas dan mengurangkan tenaga untuk bersukan

      Apakah kesan-kesan jangka panjang?
      • Barah (cth. paru-paru, payudara, mulut, tekak, dan usus)
      • Penyakit Jantung
      • Angin Ahmar / Strok
      • Penyakit paru-paru (cth. Penyakit lelah, bronkitis)
      • Penyakit mulut dan gusi
      • Ulser (perut, peptic)
      • Osteoporosis
      • Kemandulan (tidak boleh hamil)
      • Kurang bernafsu dalam perhubungan seks
      • Mati pucuk
      kesan jangka panjang
      Selain membahayakan kesihatan diri, apakah keburukan merokok yang lain?
      Merokok juga boleh mencemarkan persekitaran
      • Puntung rokok yang dibuang merata-rata boleh mencemarkan persekitaran seperti mengakibatkan longkang tersumbat yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes
      • Menyebabkan pencemaran udara
      • Perokok pasif (Menyedut/menghidu asap rokok dari orang lain yang merokok), juga boleh menyebabkan penyakit lelah di kalangan kanak-kanak
      • Menyumbang sebanyak 25% kepada kes kebakaran 

      Merokok Dari Pandangan Islam

      Keputusan: 
      Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah HARAM dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.
      Keterangan/Hujah: 
      1. Isu tabiat merokok ini timbul adalah hasil Seminar Pembasmian Tabiat Merokok anjuran Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) pada 2 November 1994 di mana telah meluluskan resolusi untuk menubuhkan badan bertindak kebangsaan bagi memerangi tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.
         
      2. Pada masa kini jumlah perokok sama ada di negara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta juga badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada kesihatan.
         
      3. Pihak kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok terutamanya penyakit kanser, barah paru-paru serta penyakit jantung.
         
      4. Kajian perubatan telah dapat membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6 hingga 8 mg nikotin dan setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita menghidu 4,000 jenis bahan kimia, hamper kesemuanya boleh memudharatkan badan manusia.
         
      5. Merokok boleh mengganggu kesihatan, menghilangkan nafsu makan, merosakkan anggota badan, melemahkan jantung, kanser, barah paru-paru, gangguan pernafasan dan merosakkan otak.
         
      6. Hukum merokok pada pandangan Islam seperti berikut:
        (a)Sebahagian ulamak berpendapat merokok adalah harus kerana tidak sabit tentang kemudharatan atau mabuknya. Mereka juga bersandar kepada kaedah “ Asal Sesuatu Itu Adalah Harus
        (b)Setengah ulamak berpendapat merokok adalah makruh iaitu dikaitkan dengan bawang merah dan bawang putih di segi baunya.
        (c)Ramai daripada ulamak berpendapat merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji.
        (d)Nash-nash Al-Quran dan hadith seperti berikut adalah menjadi asas kepada penetapan hukum:
        Maksud firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat: 195 " Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan "
      Iklan Bahaya Merokok

        Selasa, 17 Mei 2011

        Akne / Jerawat


        Apa itu akne?
        Akne juga dikenali sebagai jerawat.

        Bagaimana akne terjadi?
        Akne terjadi apabila:
        • Liang roma tersumbat dengan penebalan kulit di pembukaan liang, minyak daripada bahan kosmetik atau tar
        • Terdapat peningkatan pengeluaran minyak daripada kelenjar minyak (sebaceous gland). Keadaan ini bergantung kepada hormon serta ditentukan oleh gen seseorang
        • Terdapat jangkitan bakteria pada dukta liang roma (disebabkan oleh bakteria Propionebacterium acne)
        Adakah akne disebabkan oleh beberapa makanan tertentu?
        Ini merupakan satu mitos.Akne tidak disebabkan oleh makanan berminyak seperti kacang atau coklat. Ia juga bukan disebabkan oleh resdung.
        Apakah rupa akne?
        Terdapat beberapa jenis akne iaitu :
        • Bintik putih atau bintik hitam (comedones)
        • Bonjol merah yang bernanah atau tidak
        • Bintil (nodul) dan pembentukan cista (berair) yang mungkin mengakibatkan parut

         Apakah yang menyebabkan akne semakin teruk?
        Antara perkara yang boleh mengakibatkan akne semakin teruk adalah:
        • Perubahan hormon pada remaja perempuan semasa datang haid
        • Alat solek yang berasaskan minyak
        • Gel rambut
        • Memicit jerawat
        • Tekanan hidup
        • Mengandung
        • Ubat seperti streroid, phenytoin (Dilantin) atau Lithium
        Siapa yang boleh mendapat akne?
        Akne boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
        • Biasanya ia menjadi bertambah teruk di kalangan remaja, terutama remaja lelaki
        • Kita boleh mendapat akne pada bila-bila masa atau usia walaupun melebihi 50 tahun
        • Jika ibu bapa anda mempunyai masalah akne, berkemungkinan besar anda juga boleh mendapatnya.
        Apa yang boleh saya lakukan apabila mendapat akne?
        Akne yang ringan boleh dirawat dengan ubat yang boleh dibeli dari farmasi. Pada lazimnya adalah memadai untuk menggunakan ubat seperti:
        • Benzoyl peroxide 2.5%, 5%, 10% krim/gel pada waktu malam atau 2 kali sehari
        • 2% - 6% Sulfur dalam losen calamine
        Bilakah saya perlu mendapatkan rawatan?
        Jika akne bertambah teruk, anda perlu berjumpa dengan doktor. Doktor akan memberi pelbagai jenis krim seperti Retinoids, Azelaic Acid atau antibiotik (Clindamycin).
        Untuk akne yang sederhana.
        • Seseorang itu perlu makan antibiotik selama 4 hingga 6 bulan
        • Pil perancang keluarga yang tertentu juga berkesan bagi remaja perempuan tetapi bukan untuk remaja lelaki
        Bagi akne yang teruk (nodulocystic acne), anda perlu dirujuk kepada pakar kulit untuk mendapatkan rawatan Isotretinoin (Roaccutane). Preskripsi bagi ubat ini hanya boleh diberi oleh Pakar Perunding Kulit (Dermatologist):
        • Isotretinoin mempunyai kesan sampingan yang teruk seperti kecacatan kelahiran. Remaja perempuan tidak boleh mengandung semasa mengambil Isotretinoin dan sehingga sekurang-kurangnya sebulan selepas berhenti mengambil ubat tersebut
        • Mereka juga perlu dipantau untuk kesan-kesan sampingan Isoteretinoin yang lain
        Adakah akne boleh meninggalkan parut?
        Akne yang ringan sembuh dengan meninggalkan kesan gelap (pigment) yang akan hilang. Pada lazimnya ia tidak akan meninggalkan parut kecuali akne tersebut dicungkil atau dipicit.Akne yang teruk dan nodulocystic akan meninggalkan parut yang cetek di bahagian permukaan dan/atau parut yang dalam di kulit.Terdapat golongan yang cenderung terhadap pembentukan keloid (parut tebal).

        Bolehkan parut akne dirawat?
        Selepas beberapa bulan, biasanya parut akan hilang sedikit demi sedikit.
        Beberapa kaedah boleh digunakan untuk merawat parut seperti:
        • Bagi parut yang cetek, bahan kimia seperti glycolic atau asid trikloroasetik digunakan untuk menggelupaskan permukaan kulit
        • Teknik laser resurfacing
        • Bagi parut yang besar, boleh menggunakan suntikan collagen atau implan matrik gelatin
        • Pembedahan pembetulan (Surgical repair)
        • Penggunaan kosmetik bagi menutup parut
        Bolehkah saya mencegah akne?
        Ya, boleh. Anda boleh menghindari atau mengawal akne melalui:
        • Mencuci muka sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan menggunakan pencuci muka yang lembut
        • Mengelak daripada menggunakan kosmetik yang berasaskan minyak. Pilih kosmetik yang non-comedogenis
        • Mengamalkan pemakanan yang sihat. Makanan boleh memberi kesan kepada kulit anda. Ambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan
        • Lebihkan minum air kosong
        • Bersenam untuk membaiki perjalanan darah dan nutrien ke kulit
        • Mengurangkan tekanan dan mengamalkan teknik relaksasi

        Ahad, 8 Mei 2011

        Denggi


        Apakah itu Denggi?

        Denggi berpunca daripada empat virus yang berkait rapat (DEN-1, DEN-2, DEN-3 atau DEN-4). Ia merebak kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti virus denggi. Demam denggi adalah penyakit seperti selesema yang teruk, yang boleh dihidapi oleh bayi, kanak-kanak dan remaja tetapi jarang sekali menyebabkan kematian. Dua bentuk denggi yang paling berbahaya adalah:

        Demam Denggi Berdarah (DHF) dan Sindrom Renjat Denggi (DSS).

         
        Bagaimana ia berjangkit?

        Virus denggi berjangkit kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes betina yang dijangkiti. Nyamuk secara amnya mendapat virus tersebut semasa menghisap darah seseorang yang menghidap denggi. Sebaik sahaja dijangkiti, sepanjang hidupnya, seekor nyamuk itu boleh memindahkan virus tersebut kepada individu yang mudah dijangkiti. Virus denggi itu kemudian mengalir dalam darah manusia yang telah dijangkitinya itu selama 3-14 hari (purata 4 hingga 6 hari). Individu tersebut mungkin diserang demam secara tiba-tiba serta berbagai-bagai tanda dan simptom yang tidak khusus. Denggi tidak boleh merebak secara langsung dari seorang ke seorang yang lain.

        Apakah simptomnya?

        Tanda dan simptom demam denggi berbeza-beza mengikut usia pesakit. Simptom-simptom utama denggi adalah demam panas, sakit kepala yang teruk, sakit belakang, sakit sendi, rasa loya dan muntah, sakit mata dan ruam. Bayi dan kanak-kanak kecil mungkin mengalami demam dan ruam. Mereka akan mengalami kesakitan yang agak kurang berbanding dengan kanak-kanak yang lebih besar dan orang dewasa.
         
        Demam Denggi Berdarah dan Sindrom Renjat Denggi
        Demam Denggi Berdarah (DHF) dan Sindrom Renjat Denggi (DSS) boleh dikesan melalui serangan demam secara tiba-tiba, setinggi 40-41ºC. Ia akan berlanjutan selama 2 hingga 7 hari dengan tanda dan simptom demam denggi yang serupa. Ini diikuti oleh rerambut darah yang ‘bocor’, yang membolehkan komponen bendalir keluar daripada pembuluh darah, menyebabkan pendarahan renjatan dan berdarah seperti hidung atau gusi berdarah, dan kemungkinan pendarahan dalaman. Bilangan platelet akan merosot sehingga kurang daripada 100,000/mm3.
        Tempoh berlakunya DHF adalah 7-10 hari. Semasa dalam fasa awal serangan denggi, adalah sukar untuk membezakan DHF/DSS daripada demam Denggi atau penyakit bervirus yang lain. Peringkat kritikal DHF/DSS berlaku paling kerap, 24 jam selepas suhu badan jatuh atau di bawah paras normal. Jika Demam Denggi Berdarah tidak dirawat, ia boleh membawa kepada Sindrom Renjat Denggi.
        Untuk para pesakit yang menghidap DHF atau DSS yang teruk, demam serta tanda dan simptom yang tidak khusus akan berlaku untuk beberapa hari. Ia diikuti pula dengan keadaan pesakit yang merosot secara tiba-tiba. Pesakit tersebut mungkin kelihatan tidak bermaya dan menjadi resah. Tanda-tanda kegagalan peredaran darah adalah seperti:

        • tekanan darah yang rendah
        • denyutan nadi yang laju tetapi lemah
        • sakit perut yang teramat
        • kulit berlengas dan sejuk serta
        kelihatan resah

        Tanda-tanda pendarahan adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, gusi, hidung serta gastro-usus berdarah dan kadang kala aliran haid yang berlebihan. Mereka kerap mengalami sakit perut yang teruk, sejurus sebelum serangan renjatan.

        1) Demam Denggi Panas
        Ini merupakan peringkat yang paling ringan, seseorang pesakit itu boleh mengalami beberapa atau semua gejala denggi berikut:
        Demam panas sehingga 40.6 darjah Celsius
        • Sakit kepada dan sakit belakang
        • Tompoh-tompok ruam merah pada permukaan kulit yang muncul dan hilang selepas beberapa hari dan kemudian muncul lagi
        • Sakit pada sendi dan otot
        • Sakit di belakang mata
        • Rasa muntah-muntah dan cirit birit
        Tanda-tanda tersebut biasanya mulai muncul 4 – 7 hari selepas digigit oleh nyamuk aedes. Demam denggi panas jarang menyebabkan kematian dan biasanya akan sembuh dalam masa seminggu.


        2)Demam Denggi Berdarah
        Demam denggi jenis ini biasanya bermula dengan cara yang sama seperti Demam Denggi Panas biasa dan ia mula menjadi semakin teruk selepas beberapa hari. Demam jenis bahaya ini menunjukkan tanda-tanda demam denggi biasa bersamaan gejala tambahan berikut:
        Penurunan tahap platlet darah yang ketara
        Pendarahan di bawah kulit yang menghasilkan tompok-tompok merah unggu seperti kena tumbukan.
        Pendarahan pada hidung, mulut dan gusi gigi
        Kerosakan pada system aliran darah dan limfa
        Kematian
        3)Kejutan Demam Denggi (Dengue Shock)
        Jenis ini merupakan bentuk denggi yang paling parah atau ketara. Tanda-tanda kejutan denggi adalah seperti berikut:
        Kekaburan fikiran
        Sakit perut yang ketara
        Muntah-muntah dan cirit-birit
        Pendarahan dalaman dan luar yang banyak
        Penurunan tekanan darah yang mendadak
        Kematian serta-merta


        Tempoh pengeraman / Incubation period
        (Masa di antara gigitan nyamuk hingga tercetusnya simptom)
        Tempoh pengeraman untuk Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah berlanjutan dari 3 hingga 14 hari. Tempoh purata pengeraman ialah 4-6 hari.

        Bagaimana mengesahkan denggi?
        Jangkitan denggi didiagnosis dalam makmal dengan mengesan antibodi khusus dalam serum pesakit (ujian serologi) lima hari selepas menghidap demam. Jika perlu, ujian tersebut harus diulang selepas 2-3 minggu. Sebilangan kit ujian cepat yang berdasarkan sampel serum tunggal boleh didapatkan secara komersil tetapi mungkin kurang sensitif daripada ujian serologi yang konvensional. Semasa lima hari pertama mengalami demam, jangkitan denggi boleh didiagnosis melalui pengesanan molekul (tindak balas berantai polimerase) & antigen denggi (antigen NS 1). Darah untuk ujian diagnostik harus diambil daripada pesakit secepat mungkin selepas tercetusnya simptom.

        Apakah jenis rawatan yang
        terdapat untuk demam Denggi?
        Tiada terdapat drug antivirus untuk merawat denggi. Rawatan utamanya adalah untuk mengawal simptom dan mencegah komplikasi yang timbul daripada DHF dan DSS yang teruk. Pengawalan awal bergantung pada pemantauan harian yang rapi bagi bilangan platelet, supaya pesakit dapat menerima terapi penggantian bendalir dan pemasukan platelet jika perlu.

        Darah Tinggi / Hipertensi


        Darah Tinggi Pembunuh Senyap
        Salah satu sebab mengapa penyakit darah tinggi `diabaikan' ialah kerana ia langsung tidak menunjukkan sebarang gejala `menakutkan' yang dapat dilihat dengan mata kasar. Pada masa yang sama, ia juga mengambil masa bertahun-tahun untuk meninggalkan kesan kepada penghidapnya.
        Justeru, tidak hairanlah jika kita `kurang berminat' untuk mempedulikan bacaan tekanan darah setiap kali menjalani pemeriksaan doktor. Malah, rata-rata juga beranggapan bahawa darah tinggi atau dalam istilah perubatannya, hipertensi ini bukanlah satu ancaman kepada kesihatan.
        Tanggapan dan penilaian sebegini menyebabkan kita melakukan satu kesilapan yang cukup besar. Hipertensi, yang diklasifikasikan sebagai `penyakit senyap' inilah sebenarnya penyumbang utama kepada banyak penyakit yang serius. Ini termasuklah penyakit jantung, angin ahmar (strok) dan kegagalan buah pinggang berfungsi.
        ``Secara tidak langsung, ia juga mempunyai impak yang besar pada ekonomi kerana kos penjagaan pesakit meningkat dan kehilangan produktiviti akibat pesakit tidak dapat bekerja,'' demikian menurut Ketua Jabatan Nefrologi, Jabatan Perubatan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zaki Murad.
        Kurangnya kesedaran dan minat orang ramai untuk mengambil tahu berhubung hipertensi ini menyebabkan kadar peratusannya cukup membimbangkan. Di negara ini sahaja, tinjauan Mobiditi dan Kesihatan Kebangsaan pada 1996 mendapati, 30 peratus penduduk yang berusia 30 tahun ke atas menghidap hipertensi.


        Hipertensi
        Hipertensi merupakan satu keadaan di mana bacaan tekanan darah melebihi 140/90 meningkat secara berterusan. Seseorang itu diklasifikasikan sebagai penghidap hipertensi setelah ujian ulangan dilakukan beberapa kali. Bagaimanapun, seseorang tidak dikategorikan sebagai penghidap hipertensi jika bacaan tekanan darah yang melebihi paras biasa hanya sekali.
        Hipertensi berlaku apabila arteri-arteri atau dinding cabang pembuluh darah halus menjadi keras dan menyukarkan darah melaluinya. Kesannya, tekanan darah meningkat dan menyebabkan jantung terpaksa bekerja lebih kuat. Sekiranya bacaan tekanan darah kekal pada kadar 140/90 atau lebih, ini bermakna anda menghidap hipertensi.
        Setiap hari jantung akan berdenyut lebih daripada 100,000 kali. Darah akan dipam dari jantung ke seluruh pembuluh darah setiap kali jantung berdenyut. Di antara degupan jantung, tekanan dalam dalam pembuluh akan menurun. Bacaan tekanan darah direkodkan dalam dua nombor, contohnya 120/80.
        Nombor yang pertama, 120, adalah tekanan darah pada dinding pembuluh darah apabila proses degupan jantung berlaku. Ia juga dikenali sebagai sistolik. Manakala, nombor kedua, 80, merupakan tekanan pada pembuluh darah ketika jantung berehat antara degupan jantung. Ia dikenali sebagai diastolik.


        Hipertensi Tidak Memilih Jantina di Kalangan Penghidapnya.
        Secara purata, dianggarkan satu per tiga penduduk di seluruh dunia menghidap hipertensi. Kajian di Amerika Syarikat (AS), mendapati kekerapan menghidap hipertensi lebih tinggi di kalangan penduduk negara itu, terutama mereka yang berketurunan Afrika dan Caribbean.
        Menurut Dr. Zaki, sebagai langkah mencegah dan menangani hipertensi lebih berkesan, garis panduan rawatan hipertensi diperkenalkan khusus untuk pengamal perubatan.
        Garis panduan praktik klinikal (CGPs) edisi ke-2 ini adalah hasil usaha panel Garis Panduan Rawatan Hipertensi Malaysia, Kementerian Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia dan Persatuan Hipertensi Malaysia.
        ``Garis panduan ini diterbitkan untuk menyelaraskan amalan pengamal perubatan di seluruh negara apabila merawat pesakit hipertensi,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan mengambil peluang menjalani pemeriksaan tekanan darah setiap kali berjumpa doktor.
        Menurut Dr. Zaki, oleh kerana hipertensi adalah pembunuh senyap, pesakit dinasihatkan supaya mematuhi jadual ubat-ubatan yang ditetapkan. ``Kegagalan pesakit mematuhi jadual rawatan ubat-ubatan yang ditetapkan menyebabkan masalah ini sukar dikawal.
        ``Malah, risiko menghidap penyakit kronik seperti serangan jantung, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang berfungsi juga tinggi,'' katanya. Beliau tidak menafikan, ubat-ubatan antihipertensi yang perlu diambil seumur hidup ini mempunyai kesan sampingan tersendiri.
        Namun, katanya orang ramai tidak perlu bimbang dengan generasi baru ubat-ubatan antihipertensi kerana sebahagian besarnya mempunyai kesan sampingan yang terlalu sedikit. Menangani hipertensi tanpa ubat-ubatan (non pharmacological management) melalui perubahan gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam menangani hipertensi.
        Ini termasuklah:
        • Mengawal berat badan
        • Mengurangkan pengambilan garam
        • Tidak mengambil minuman keras
        • Melakukan senaman secara kerap
        • Pemakanan sihat
        • Berhenti dari merokok.
        Jenis Hipertensi
        Hipertensi essential (HE)
        Ia diwarisi secara keturunan dan faktor persekitaran. Dianggarkan 90 peratus mereka yang menghidap hipertensi terdiri daripada jenis ini. HE ini tidak boleh dicegah, tetapi kesannya dicegah.
        Seseorang lebih cenderung mendapat hipertensi ini sekiranya mereka mengambil makanan yang mengandungi garam yang tinggi. Tekanan juga, dikenal pasti sebagai faktor penyumbang hipertensi jenis ini.
        Hipertensi sekunder
        Ia disebabkan oleh penyakit-penyakit hormon, jantung, ubat-ubatan, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.


        Gejala
        Hipertensi tidak menunjukkan sebarang gejala kepada penghidapnya. Bagaimanapun, jika hipertensi terbabit agak serius, individu terbabit biasanya mengalami sakit kepala.


        Apakah Yang Meningkatkan Tekanan Darah?
        Tekanan darah meningkat sekiranya ada tindak balas pada aktiviti lasak seperti senaman dan terkejut. Keadaan seperti ini menyebabkan aliran darah yang membawa oksigen bertambah dan tekanan darah meningkat.
        Dalam keadaan sejuk secara tiba-tiba, kapilari darah bawah kulit akan mengecut untuk menyimpan haba tubuh. Keadaan ini juga, meningkatkan tekanan darah. Kesemua tindak balas ini dikawal oleh sistem saraf pusat.
        Peningkatan dan penurunan tekanan darah bergantung pada perubahan aktiviti. Ia juga cenderung untuk meningkat seiring dengan peningkatan usia. Sekiranya, bacaan tekanan darah meningkat setelah beberapa kali ujian dilakukan, ia dikenali sebagai hipertensi. Bagaimanapun, jika bacaan ini menurun pada tahap tertentu, ia dikenali sebagai hipotensi.
        Klasifikasi ini berdasarkan bacaan purata yang diambil dua kali atau lebih setiap kali berjumpa doktor, selepas lawatan imbasan peringkat permulaan.
        Apabila tekanan darah sistolik dan diastolik termasuk dalam pelbagai kategori, kategori tertinggi akan dipilih untuk mengklasifikasikan tekanan darah individu terbabit.